Konsert

 

HAYAT… 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP

Kerjaya 45 tahun seniman Datuk Ramli Sarip akan diraikan dengan konsert istimewa di Istana Budaya pada 17-19 Oktober 2014 dan di Esplanade Singapura pada 21 Oktober 2014. Konsert selama tiga malam di Istana Budaya akan menjadi satu penanda aras bagi seniman itu yang memulakan karier sejak 1969 bersama kumpulan rock legenda Sweet Charity di Singapura. Keterampilan beliau dalam bidang seni selama 45 tahun pasti ditunggu-tunggu, seperti visi Datuk Ramli Sarip yang mahu menjadikan persembahan kali ini ‘artistik’ dan amat bermakna bagi para peminatnya.

“Ia mengenai bagaimana sesuatu persembahan itu akan dipakejkan, supaya ia lebih bercorak antarabangsa,” kata Datuk Ramli Sarip mengenai corak persembahan kali ini. Katanya, Rasamusic dan para peminat banyak mendorong untuk beliau terus berkarya dan membuat persembahan. Ujarnya sambil tersenyum, “mereka cakap, selagi masih ada lagi hayat…”

HAYAT sebagai tajuk persembahan kali ini hanya terdetik baru-baru ini di benaknya. “Ia satu tema yang sukar diilham. Emm… berbanding tema-tema sebelum ini seperti Ziarah Seni, Ruh Zaman, Mutiara Zaman dan lain-lain, dan saya harus percaya ia adalah sebagai… HAYAT.” Katanya yakin, HAYAT boleh dikatakan sebagai masa, ketika, waktu, umur, lagu, ketahanan dan sebagainya.

Apa yang lebih istimewa kali ini ialah persembahan Datuk Ramli Sarip akan membawa penonton lebih dalam terhadap asal-usul pengembaraan seni selama 45 tahun beliau. Para peminat akan pasti terlihat pengaruh-pengaruh besar yang menbentuk corak pemikiran serta visi muzikal seorang tokoh seni bernama Ramli Sarip. Sebelum dia memberanikan diri untuk menyanyi di sebuah kenduri kahwin ketika berumur 14 tahun, ketika itu 1966 di Singapura. Lagu ‘Doa dan Harapan’ daripada A. Halim dan D’Fictions, dia masih ingat.

Bagaimana mendalami muzik bersama-sama rakan rapat Rahman Sarbani, Wahid Warren dan Joe Salim di sekitar Bukit Timah. Bermain lagu Beatles, Rolling Stones, CCR, Cream atau Bad Company. Sehinggalah kepada era 1969 bermain di kelab malam Ocean Bar, Sembawang menghiburkan kelasi-kelasi kapal. Bagaimana mula mendalami Santana, Led Zeppelin, Deep Purple serta mengorak langkah awal mencipta identiti sendiri bagi sebuah band bernama Sweet Charity. Mengumpulkan ramai peminat di Panggung Negara Singapura dan seterusnya merakamkan album pertama bersama WEA bertajuk Sweet Charity (1978), iaitu selepas 10 tahun bermain muzik.

7 album bersama Sweet Charity membawa nama Ramli Sarip sebagai salah seorang penyanyi berkarisma dan beridentiti, dengan barisan lagu-lagu yang mantap dan terus menjadi legenda sehingga kini. Karier solo yang bermula 1985 dengan album Ramli Sarip melahirkan lagu-lagu anthem rock seperti Jikalau Berkasih dan Panah Beracun. Bukan Kerana Nama (1986) ialah album penuh bermakna. Perjalanan Hidup (1987) pula sangat kaya dengan falsafah hidup. Album-album seperti Syair Timur (1997) dan Kalam Kesturi (2002) digarap dengan penuh kasih, kerohanian dan ketelitian. Koleksi-koleksi Ziarah Seni dan kompilasi beliau semuanya mendapat sentuhan peribadi samada dalam bentuk pilihan lagu atau konsep yang dipakejkan.

Konsert Ruh Zaman (2005) di Istana Budaya ialah salah satu kenangan yang sukar dilupakan bagi para peminatnya, apabila berpeluang menyaksikan satu persembahan bertaraf tinggi di sebuah panggung yang ekslusif. Dan konsert Tafsiran Budiman (2010) di Dewan Filharmonik Petronas membawa insan ini ke tahap yang diiktiraf sebagai seniman yang jitu dengan falsafah serta keperibadian.

Datuk Ramli Sarip sentiasa aktif dengan persembahan di merata tempat, tak kira di mana sahaja beliau dijemput. Dia memberikan sepenuh jiwa dan raga setiap kali membuat persembahan, samada di depan 50 ribu jiwa atau sekadar di depan beberapa peminat kecil. Itu yang penulis lihat sendiri ketika berpeluang bersama-sama seniman ini di mana-mana sahaja. Sikapnya yang peramah dan tidak melihat pangkat atau usia dikagumi sebagai seorang seniman yang membesar dan berkembang di jalanan yang sebenar.

HAYAT… 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP bakal dilihat akan ‘mengulas’ dan menggambarkan perjalanan yang panjang ini. Beliau turut berkata mengenai jemputan ahli-ahli Sweet Charity untuk bermain dalam konsert kali ini. Malahan pengaruh besar Sweet Charity dari Indonesia God Bless akan turut menerima jemputan. Jadi, seniman hebat seperti Achmad Albar, vokalis God Bless juga akan berpentas bersama-sama. Penyanyi wanita yang akan berduet dengannya, Ramli mengundang Dayang Nurfaizah. Aris Ariwatan juga diundang untuk berduet lagu-lagu yang pernah dirakam bersama Tan Sri SM Salim. Tidak akan dilupakan ialah kumpulan yang telah bersama-sama beliau menempa nama di industri muzik iaitu Rahman Sarbani, Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar Jawahir (AJ) dari rock group Sweet Charity.

Pemuzik tanahair yang dirujuk Ramli Sarip bertaraf ‘bintang’ akan mengiringinya beliau seperti:

Man Kidal Gitar I
Rizal Halim Gitar II
Tom Anuar Drum
Fauzie Zain Bass Gitar
Roza Rasul Kibod I
Belle Fatah Kibod II
Kamrulbahrin Hussin Perkusi I
Paang Zaman Perkusi II
Boy Razli Flute/Gambus
Pemuzik Jemputan
Aji Samin Gitar
Din Safari Bass Gitar

“Ia bukanlah mengenai sebesar mana persembahan itu digarap tetapi bagaimanakah para pemuzik itu dapat berkongsi jiwa dan rohani mereka dalam lagu-lagu yang akan dibawakan,” kata Datuk Ramli Sarip mengenai skel persembahan. Pilihan lagu pastinya yang paling mantap di samping beberapa lagu istimewa, yang jarang dibawakan sebelum ini.

HAYAT… 45 TAHUN SENIMAN RAMLI SARIP ialah satu pentas yang menggabungkan perasaan dan pengalaman yang dalam. Ia adalah satu sejarah muzik yang harus diabadikan, dan wajib diberi perhatian. Konsert ini ialah satu ketika di mana Ramli Sarip akan berkongsi segala cita-cita dan harapan, yang diimpikannya ketika bermula bermain muzik 45 tahun lalu di dari Kampung Camar, Bukit Timah ke Sembawang, Singapura.  ‘Selagi hayat masih ada…’ kita semua pasti akan terus melihat seniman cekal ini akan terus berkarya dan terus membuat persembahan.

Text oleh SEIR RASHID